MEMPERKUKUH SUMBER PERIKANAN DEMI KELANGSUNGAN HIDUP NELAYAN

YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor bersama YB Datuk Pandak Ahmad, Ahli Dewan Negeri (ADN) Johor Kawasan Kota Iskandar menyertai Program Melabuh Unjam (Peranti Pengumpulan Ikan) serta pelepasan benih ikan di perairan Iskandar Puteri. | Foto FB Zahari Sarip
#IskandarPuteri – Usaha memperkukuhkan lagi sumber perikanan terus diperkasa apabila Kerajaan Negeri dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Johor melepaskan 100 unit unjam merangkumi 80 unit di perairan Tanjung Surat, Kota Tinggi dan 20 unit di Iskandar Puteri pada tahun ini.
Kesemua unjam bernilai RM250,000 yang dilepaskan tersebut dijangka membantu meningkatkan hasil tangkapan di samping menyokong kelestarian sumber marin sekali gus memastikan kebajikan dan kelangsungan hidup nelayan di negeri ini, terus terpelihara.
Selain itu, sebanyak 1.67 juta benih ikan pelbagai spesies dan udang galah bernilai RM340,000 turut dilepaskan di tujuh daerah lain sebagai langkah berterusan untuk memastikan stok perikanan sentiasa terpelihara serta hasil tangkapan nelayan dapat dipertingkatkan.
Pada tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira RM1.75 juta bagi sektor perikanan meliputi program pelepasan benih ikan, pelabuhan unjam, pembangunan estet kerang-kerangan serta pelbagai inisiatif lain bagi meningkatkan pendapatan komuniti nelayan.
Untuk rekod, terdapat 10,249 nelayan berlesen di negeri ini, terdiri daripada 9,228 nelayan laut dan 1,021 nelayan darat yang menjadi tulang belakang kepada industri perikanan Johor serta memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan hasil makanan laut kekal mencukupi dan berkualiti untuk rakyat.
Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor bersama YB Datuk Pandak Ahmad, Ahli Dewan Negeri (ADN) Johor Kawasan Kota Iskandar menyertai Program Melabuh Unjam (Peranti Pengumpulan Ikan) serta pelepasan benih ikan di perairan Iskandar Puteri, semalam.
#PerikananJohor
#KeterjaminanMakanan
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor