JOHOR KEKAL TERAJUI PENGELUARAN BUAH-BUAHAN TEMPATAN

Durian menjadi antara penyumbang tertinggi sebagai pengeluar utama buah-buahan tempatan di negeri ini. 

 

#IskandarPuteri – Johor terus mengekalkan kedudukan sebagai pengeluar utama dan mengukuhkan status sebagai ‘syurga’ buah-buahan tempatan dengan jumlah keseluruhan pengeluaran mencecah 739,275 tan metrik pada tahun lalu.

 

Untuk rekod, durian menjadi antara penyumbang tertinggi dengan pengeluaran sebanyak 189,787 tan metrik melibatkan keluasan 19,179 hektar yang diusahakan oleh kira-kira 34,000 pengusaha di seluruh negeri ini.

 

Selain itu, durian Johor juga merekodkan eksport lebih 13 juta kilogram ke luar negara termasuk 7.2 juta kilogram daripadanya ke Singapura meliputi pelbagai varieti termasuk Musang King, D13, IOI, Kim Hong, Tekka dan Black Thorn.

 

Kerajaan Negeri dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Johor telah membangunkan Pusat Pengumpulan Hasil Durian di Tangkak yang sudah mula beroperasi secara kecil-kecilan.

 

Pembangunan pusat itu menjadi langkah strategik menangani lambakan durian pada musim puncak selain menggalakkan pengusaha sekitar Muar, Tangkak dan Segamat menghantar hasil masing-masing untuk dipasarkan secara lebih teratur.

 

Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan juga memperuntukkan RM6.8 juta untuk pembangunan industri buah-buahan pada tahun ini yang memanfaatkan 474 penerima.

 

Melibatkan kawasan seluas lebih 2,000 hektar, inisiatif itu untuk memperkukuh kedudukan Johor sebagai negeri pengeluar utama dan meningkatkan daya saing usahawan tempatan di peringkat global.

 

#DurianJohor
#RajaBuah
#KeterjaminanMakanan
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor