EXCO PENDIDIKAN DAN PENERANGAN BAHARU SEDIA PIKUL TANGGUNGJAWAB


YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor yang baharu. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Pemerkasaan institusi pendidikan di negeri ini, menjadi fokus utama diberikan perhatian YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor yang baharu.

 

Beliau yang merupakan Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Tanjung Surat memaklumkan fokus berkenaan juga merupakan keutamaan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

 

Justeru, Presiden Majlis Belia Negeri Johor itu menzahirkan kesediaan untuk melaksanakan tugas sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor yang diamanahkan dengan penuh rasa bertanggungjawab.

 

Selain itu, YB Aznan Tamin menjunjung setinggi-tinggi kasih buat DYAM Pemangku Sultan Johor atas perkenan dan kepercayaan untuk menggalas dua portfolio yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

 

Terdahulu, beliau mengangkat sumpah jawatan pada Istiadat Pelantikan Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, Johor Bahru, hari ini.

 

Ia disusuli dengan pengumuman pelantikan dan penstrukturan semula portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor bagi tahun 2024 hingga 2027 oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.

 

Pelantikan dan penstrukturan semula Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor itu atas perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan DYAM Pemangku Sultan Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor