GUGUP DAPAT PEGANG TANGAN DYAM TMJ


Penggiat seni kalifgrafi Cina, Lee Chin Chok berpeluang memegang tangan Tunku Ismail bagi memandu baginda menyempurnakan tulisan kaligrafi Cina. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

TANGKAK –– Seorang penggiat seni kalifgrafi Cina bagaikan tidak percaya apabila diberikan peluang untuk DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim menghasilkan lukisan bermotifkan kaligrafi Cina pada hari ketiga Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023 di Kampung Sawah Ring di sini, hari ini.

 

Lee Chin Chok, 72, berkata perasaannya bercampur baur antara teruja, bangga dan gugup apabila berpeluang memegang tangan Tunku Ismail bagi memandu baginda menyempurnakan tulisan kaligrafi Cina yang menjadi salah satu pengisian aktiviti persinggahan pertama rombongan Keluarga DiRaja Johor hari ini.

 

“Wow, memang saya berasa bangga hari ini kerana tak pernah terlintas dalam benak fikiran suatu hari nanti saya dapat memegang tangan TMJ. Saya ni orang tua dan rakyat biasa, manakala baginda pula orang istana.

 

“Bila dapat tahu saya dan seorang lagi pelukis kaligrafi Cina ada peluang untuk jumpa dengan Baginda Tunku, memang hati saya ‘berbunga-bunga’ kerana sangat-sangat teruja.

 

“Tetapi, kita pun ada perasaan gementar dan gugup juga sebab takut tak jadi pula tulisan kaligrafi Cina nanti (disebabkan kali pertama berpeluang mengadap baginda) ,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor hari ini.

 

Terdahulu, rombongan Keluarga DiRaja Johor yang diketuai Tunku Ismail tiba di Sawah Ring pada jam 10 pagi.

 

Berangkat sama, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Ibni Sultan Ibrahim; Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Dato’ Dennis Muhammad Abdullah.

 

Pada titik pertama persinggahan hari ketiga KMJ 2023, Paduka Adinda Tunku Mahkota Johor turut berkenan menyaksikan acara sukan rakyat melibatkan permainan dilangsungkan di dalam petak sawah seperti tarik tali, boling kelapa, sepakan penalti dan menangkap ikan.

 

Rombongan KMJ 2023 kemudiannya meneruskan perjalanan ke Taman Negara Ayer Hitam Muar sebelum dijadual ke destinasi ketiga di Pusat Pertanian Parit Botak, Batu Pahat.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor