HAMPIR 1,400 PESERTA MERIAHKAN RUGJ


Aksi dua pesilat yang menyertai RiseUp Gold Junior yang berlangsung hujung minggu lalu di Velodrom Johor. | Foto MDJ, Imran Razib

 

ISKANDAR PUTERI — Kira-kira 1,400 peserta dari seluruh daerah di Negeri Johor mengambil bahagian di dalam RiseUp Gold Junior 2023 (RUGJ) yang berlangsung di sekitar bandaraya Johor Bahru yang berakhir semalam.

 

Penolong Pengarah Seksyen Kecemerlangan Sukan Remaja, Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Muhammad Fauzi Bahren, berkata siri pertama kejohanan itu turut melibatkan enam jenis sukan yang mempunyai potensi untuk menyumbang kilauan pingat di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang.

 

“Alhamdulillah, penyertaan yang sangat memberangsangkan dari seluruh daerah di Negeri Johor di mana MSNJ dengan kerjasama Majlis Sukan Daerah (MSD) mengumpulkan atlet-atlet terbaik dari seluruh negeri untuk berentap menerusi platform seumpama ini.

 

“Sebanyak enam jenis sukan yang dipertandingkan iaitu judo, silat, kanu, memanah, wushu dan petanque. Kesemua jenis sukan ini adalah antara sukan yang kita sasarkan untuk menambah lebih ‘pool’ atau kelompok atlet yang akan mewakili Johor di pelbagai kejohanan pada masa akan datang,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Digital Johor pada Program RUGJ di Velodrom Johor di sini, baru-baru ini.

 

Tambah Fauzi, MSNJ juga akan tampil dengan satu lagi program baharu untuk mengumpulkan atlet yang konsisten sepanjang tiga siri program RUGJ ini yang juga menjadi tanda penghargaan selain turut memberi motivasi kepada mereka.

 

“Di peringkat Seksyen Kecemerlangan Sukan Remaja, kami juga memantau setiap atlet di peringkat daerah selain menyediakan buku panduan yang seragam kepada semua jurulatih yang berkaitan.

 

“Ada beberapa jenis sukan yang telah menampakkan hasil menerusi program pembangunan seumpama ini antaranya berbasikal, karate, memanah dan olahraga,” tambahnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor