KERAJAAN NEGERI LETAK SASARAN BAHARU BINA 30,000 RMMJ DALAM LIMA TAHUN


Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, jumlah tersebut merupakan sasaran baharu diletakkan berbanding 21,702 unit sebelum ini. | Foto MDJ, Saufi Razale

 

JOHOR BAHRU –– Kerajaan Johor mensasarkan pembinaan 30,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dalam tempoh lima tahun.

 

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, jumlah tersebut merupakan sasaran baharu diletakkan berbanding 21,702 unit sebelum ini.

 

Menurutnya, penetapan sasaran tersebut dibuat selepas mengambil kira sambutan menggalakkan yang diterima daripada rakyat di negeri ini.

 

“Kerajaan Negeri melihat ia adalah satu sasaran yang boleh dicapai kerana permintaan bagi RMMJ adalah sangat tinggi dan saya tidak mahu ianya hanya dibina di Johor Bahru.

 

“Ia juga perlu dibina di daerah-daerah lain seperti Segamat, Muar, Batu Pahat, Tangkak, Pontian dan Kota Tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci RMMJ di Pangsapuri Senibong Indah, di sini, hari ini.

 

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Dato’ Mohd Noorazam Osman serta Pegawai Daerah Johor Bahru, Muzaldin Mohamed.

 

Bercakap mengenai Pangsapuri Senibong Indah, Onn Hafiz, sebanyak 222 unit di pangsapuri berkenaan telah disiap dibina.

 

Ujarnya, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 195 pembeli sudah menerima kunci masing-masing.

 

“Pemaju pangsapuri ini perlu dijadikan contoh kerana sanggup menyediakan rumah mampu milik di atas tanah seluas 200 ekar, dengan rumah seluas 1,003 kaki persegi,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor