HOSPITAL PAKAR KPJ JOHOR EDAR BUBUR LAMBUK SAYUR
ISKANDAR PUTERI – Lebih 3,000 bungkusan bubur lambuk disediakan dalam Program Bubur Lambuk Kasih Ramadan KPJ Johor 2023, pada Khamis lalu.
Acara tahunan Hospital Pakar KPJ Johor pada setiap Ramadan diteruskan dengan kerjasama Kelab Media Johor dan SAJI Malaysia di lobi hospital.
Untuk penganjuran edisi kali ini, program menampil kelainan dengan mengetengahkan resepi bubur lambuk sayur berbanding tahun-tahun sebelumnya iaitu bubur lambuk daging dan ayam.
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Johor, Haliza Khalid berkata, bubur lambuk sayur itu jarang disediakan ketika Ramadan, tetapi mempunyai keistimewaannya tersendiri berbanding versi bubur lambuk lain.
“Di Johor bahru, bubur lambuk sayur ini sukar ditemui kerana memerlukan tukang masak yang mahir selain boleh ditemui bubur lambuk sebegini di negeri-negeri Pantai Timur dan Utara.
“Bubur lambuk sayur ini lebih sihat dan berkhasiat kerana mengunakan bahan sayur-sayuran dan ulam-ulam dari semula jadi setersunya menjadikan resepi ini lengkap dan sedap untuk dihidangkan pada waktu berbuka,” katanya.
Beliau memberitahu aktiviti penyediaan bubur lambuk itu mula dilakukan dengan menyediakan bahan mentah yang dilakukan secara gotong-royong oleh anggota pekerja hospital.
Ujarnya, sebanyak enam kawah digunakan untuk memasak juadah tersebut dengan jumlah keseluruhan lebih 3,000 bungkus dapat diedarkan kepada pelanggan dan masyarakat setempat sekitar bandar raya Johor bahru.
“Program kali ini lebih bermakna apabila mendapat sokongan daripada pihak Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor untuk mengagihkan bubur lambuk ini kepada rumah kebajikan dan rumah anak-anak yatim.
“Pihak hospital juga besar hati mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kelab Media Johor kerana sudi bekerjasama dalam menjayakan program ini serta SAJI Malaysia yang menaja beberapa bahan masakan seperti beras, minyak, garam dan santan,” katanya.
Selain itu, pelbagai aktiviti turut diadakan sempena Ramadan kali ini antaranya kempen ‘Satu Barang, Satu Staff’ untuk diagihkan kepada golongan kurang bernasib baik bagi meringankan beban membuat persiapan menyambut Hari raya Aidilfitri.
Program mengimarahkan Ramadan, turut diadakan tazkirah pada setiap hari khamis dengan penceramah jemputan selain Solat Fardu Zohor secara berjemaah bersama warga kerja dan pakar perubatan.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor