HUJAN DIRAMAL BERLAKU DI 15 KAWASAN PARLIMEN PADA HARI PENAMAAN CALON


Ramalan cuaca pada hari penamaan calon di negeri Johor / Foto Ihsan Jabatan Meteorologi Malaysia.

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) meramalkan hujan akan berlaku di beberapa kawasan parlimen pada hari penamaan calon Pilihan Raya Umum (PRU) 15 pada 5 November ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, MET Malaysia meramalkan hujan akan melanda 15 kawasan parlimen di Johor pada sebelah pagi yang juga tempoh berlangsungnya proses penamaan calon PRU 15.

Antara kawasan yang akan menerima hujan ialah Parlimen Segamat, Sekijang, Labis, Pagoh, Ledang, Bakri, Muar, Parit Sulong, Ayer Hitam, Sri Gading, Batu Pahat, Pulai, Kulai, Pontian dan Tanjung Piai.

Dua kawasan parlimen iaitu Parlimen Johor Bahru dan Iskandar Puteri akan mengalami cuaca mendung pada sebelah pagi.

Sementara itu cuaca cerah pada sebelah pagi diramal berlaku di sembilan kawasan Parlimen iaitu di Simpang Renggam, Kluang, Sembrong, Mersing, Tenggara, Kota Tinggi, Pengerang, Tebrau dan Pasir Gudang.

Menerusi ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Pusat Operasi dan Geofizik Nasional MET Malaysia itu juga menjangkakan julat suhu suhu pada paras 24 hingga 32 darjah celcius.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kertas penamaan calon boleh diserahkan kepada Pengurus SPR di 222 kawasan parlimen di seluruh negara bermula dari jam 9 hingga 10 pagi, Sabtu ini.

Untuk rekod, PRU15 di Johor kali ini unik kerana hanya membabitkan pertandingan di 26 kawasan parlimen sahaja berikutan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membabitkan 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dilaksanakan pada Mac lalu.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor