PEMBEDAHAN EVISCERATION PERTAMA KPJBDOSH BERJAYA


Edi Ahmad (kiri) bersama Zivany Beta Ria ketika tiba di Hospital Pakar KPJ Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru, baru-baru ini.

 

ISKANDAR PUTERI — Hospital Pakar Bandar Dato’ Onn (KPJBDOSH) menjadi hospital pertama rangkaian hospital pakar KPJ di Johor berjaya menyempurnakan prosedur khas pembedahan mata seorang pesakit kanak-kanak warganegara Indonesia.

Zivany Beta Ria, 10, dari Batam Indonesia dilahirkan buta sebelah mata dan tidak mempunyai biji mata hitam merupakan pesakit pertama menjalani pembedahan ‘evisceration’ dan implan orbital di hospital tersebut.

Prosedur ‘evisceration’ merupakan teknik surgikal di mana semua kandungan kanta torik intraokular dikeluarkan sambil mengekalkan sklera iaitu bagian berwarna putih dan keras pada bola mata.

Bapa kepada Zivany, Edi Ahmad Simanjuntak, 44, yang bersyukur dan gembira atas kejayaan pembedahan itu memberitahu keadaan anaknya yang mulai serius dibimbangi memudaratkan sejak dua tahun lalu.

“Ini adalah ikhtiar kami sekeluarga untuk mengembalikan semula keyakinan Zivany berdepan dengan masyarakat. Saya juga faham ini adalah keperluan dan merasakan masa depannya masih panjang.

“Walaupun anak saya tidak berbicara mengenai kekurangannya ini, saya faham. Jadi kami usaha dan persiapan untuk ke sini (Johor Bahru) telah mengambil masa kira-kira satu tahun untuk bersedia selain mengumpul wang,” katanya.

Edi Ahmad turut memaklumkan memilih untuk menerima rawatan di Johor Bahru kerana harga yang lebih berpatutan selain kedudukan jarak lebih dekat berbanding perlu ke Jakarta atau Medan, Indonesia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KPJBDOSH, Noor Haslina Harun berkata, menawarkan perkhidmatan perubatan khusus kepada pesakit antarabangsa sentiasa diamalkan di hospital berkenaan.

Katanya, menjadi cabaran sebagai sebuah hospital pakar baharu di Johor untuk menawarkan perkhidmatan berbeza, namun kini menampilkan sisi rawatan lebih tertumpu seperti mata dan pembedahan neuro.

“Pelayanan kepada pesakit antarabangsa sentiasa menjadi aspirasi kami yang mana ia juga selari dengan saranan Kerajaan Johor yang komited untuk terus memperkasa bidang pelancongan kesihatan sekali gus menjadikan negeri ini sebagai salah satu destinasi perubatan terunggul.

“Mengenai rawatan mata, KPJBDOSH mempunyai pakar mata yang berupaya menjalankan pelbagai prosedur pembedahan termasuk lekangan retina, VR, katarak, lasik dan kes khas seperti adik Zivany ini iaitu ‘evisceration’ dan implan orbital,” ujarnya.

Sebelum ini, KPJBDOSH juga muncul sebagai perintis dan hospital pertama di bawah rangkaian hospital pakar KPJ di Johor memiliki kelengkapan pembedahan dan fasiliti terkini bagi merawat penyakit berkaitan mata dan retina.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor