HUTAN BANDAR MBIP BAKAL DITRANSFORMASI MENJADI TAMAN REKREASI MODEN

Hutan Bandar MBIP di Mutiara Rini bakal ditransformasikan menjadi Laman Deria Pintar (Smart Sensory Park) bernilai lebih RM13 juta bagi memperkukuh penyediaan ruang hijau awam yang moden, inklusif dan lestari untuk masyarakat. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Hutan Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) di Mutiara Rini bakal ditransformasikan menjadi sebuah taman rekreasi moden dan inklusif menerusi pembangunan Laman Deria Pintar (Smart Sensory Park) bernilai lebih RM13 juta.
Cadangan pembangunan terbaharu itu akan melibatkan kawasan seluas lebih 60 ekar dengan matlamat utamanya untuk memperkukuh penyediaan ruang hijau awam yang lebih berkualiti, lestari dan memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat terutama di sekitar kawasan berkenaan.
Pembangunan berkenaan akan merangkumi sembilan komponen utama termasuk kawasan permainan, permainan air, kolam cetek, pavilion, ruang santai serta pelbagai kemudahan awam yang dibangunkan berteraskan konsep ‘Universal Design’.
Konsep reka bentuk tersebut akan membolehkan kanak-kanak, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) serta seisi keluarga menikmati kemudahan rekreasi yang lebih selesa, selamat dan mudah diakses.
Selain itu, usaha memelihara kelestarian alam juga akan turut diberi perhatian apabila pelepasan bebola lumpur dan ikan ke dalam tasik bakal dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti air, mengurangkan enapan serta bau, di samping memelihara biodiversiti dan keseimbangan ekosistem akuatik.
Kemudahan di Hutan Bandar MBIP turut diperkasakan menerusi Gimnasium Muafakat yang kini telah dilengkapi sistem pendaftaran digital bagi membolehkan pengguna merekod serta memantau perkembangan kecergasan mereka dengan lebih sistematik pada kadar penggunaan hanya RM5.
Inisiatif pembangunan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Johor dalam memperkasa ruang awam yang bukan sahaja menjadi lokasi riadah terbaik, malah menyumbang kepada kesejahteraan, kesihatan dan kualiti hidup Bangsa Johor.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengadakan lawatan ke Hutan Bandar MBIP Mutiara Rini bagi memastikan pembangunan yang dirancang dapat direalisasikan mengikut spesifikasi serta memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat.
#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


