ISU KELIBAT BUAYA PARIT JAYUS PALSU


Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mengesahkan laporan kehadiran buaya di Kampung Parit Jayus, Seri Medan, Batu Pahat adalah palsu / Gambar Ihsan TikTok.

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor malam ini mengesahkan isu kelibat buaya yang dikatakan berlaku di Kampung Parit Jayus, Seri Medan, Batu Pahat dekat sini adalah palsu.

Ketua Zon 3 JBPM Johor, Penguasa Kanan Bomba II Siti Hajar Sanusi, berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kehadiran reptilia berbahaya itu yang ditularkan oleh pihak bertanggungjawab di media sosial sejak awal banjir melanda kawasan terbabit.

“Zon 3 JBPM Johor sudah membuat semakan mengenai isu yang ditularkan di media sosial namun pihak bomba tidak menerima sebarang panggilan kecemasan berkaitan haiwan terbabit sepanjang tempoh banjir melanda.

“Justeru, pihak bomba mengesahkan bahawa berita yang ditularkan itu ada palsu bagi menakutkan penduduk setempat,” katanya dalam satu kenyataan kepada Media Digital Johor (MDJ).

Semakan MDJ di beberapa platform media sosial termasuk Facebook mendapati wujud satu klip video berdurasi tujuh saat yang memaparkan seekor buaya bersaiz dewasa yang dikatakan dirakam di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, hasil penelitian MDJ pada ruangan komen mendapati ada beberapa penduduk menyanggah bahawa tiada kehadiran reptilia ganas itu di kawasan terbabit selain mendakwa ia adalah klip video palsu lama yang kini ditularkan semula oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, Siti Hajar berkata, pihak bomba menasihatkan orang ramai khususnya di kawasan terjejas membuat panggilan kecemasan 999 jika terdapat sebarang kemerbahayaan atau ancaman dalam tempoh banjir ini.

Beliau juga menasihat orang awam supaya tidak menularkan berita yang tidak sahih di media sosial bagi tujuan meraih publisiti dan menakutkan penduduk setempat.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor