JAINJ LAKSANA KEMPEN SEKOLAHKU SEJAHTERA-1T


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kempen bermula sejak 21 Mei lalu, itu dijayakan oleh Bahagian Pendidikan Islam JAINJ dan Pejabat Pendidikan Islam Daerah (PPID). | FOTO MDJ, Nurina Aisyah

 

JOHOR BAHRU — Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) melaksanakan Kempen Sekolahku Sejahtera-1T melibatkan baik pulih dan tambah baik kemudahan tandas Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) di negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kempen bermula sejak 21 Mei lalu, itu dijayakan oleh Bahagian Pendidikan Islam JAINJ dan Pejabat Pendidikan Islam Daerah (PPID).

 

Menurutnya, sebanyak 585 buah SAKJ di semua daerah terlibat dalam baik pulih tandas dengan peruntukan berjumlah RM400,000 yang dijangka siap sepenuhnya Ogos ini.

 

“Kempen ini memberi fokus kepada tandas untuk pastikan semua kemudahan dalam tandas boleh digunakan dengan baik oleh pelajar dan guru.

 

“10 kriteria kerosakan dikenal pasti adalah tandas tersumbat, longkang tersumbat, mangkuk tandas, lampu tandas, saluran tandas, siling, masalah pam tandas, masalah paip, masalah singki dan pintu tandas,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Digital Johor selepas mempengerusikan Mesyuarat Pembentangan Laporan Kempen Sekolahku Sejahtera-1T, di Pusat Islam Iskandar Johor, di sini, hari ini.

 

Mohd Fared berkata, kerosakan tandas SAKJ itu bukan isu yang popular, namun sewajarnya diambil perhatian oleh semua pihak seterusnya dibaik pulih dalam tempoh segera.

 

“Sebab bukan (isu) popular orang terlepas pandang. Maka saya nak jadikan tandas satu perhatian khusus supaya orang maklum bahawa tandas ini adalah keperluan kita.

 

“Bukan sahaja perlu disediakan sebaiknya, tapi juga perlu dijaga dengan semoleknya. Bahagian Pendidikan Islam JAINJ akan membuat kempen susulan untuk meningkatkan kesedaran agar bersama membantu menjaga kemudahan ini,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor