ECOCERES RENEWABLE FUELS JADIKAN JOHOR DESTINASI PELABURAN PERTAMA DI MALAYSIA


 

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pelaburan tersebut juga bakal membuka lebih 260 peluang pekerjaan untuk rakyat Negeri Johor. | Foto Ihsan FB Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Syarikat pengeluar bahan api bio dari Hong Kong, EcoCeres Renewable Fuels Sdn. Bhd. menjadikan Johor sebagai destinasi pelaburan pertama mereka di Malaysia dengan membawa masuk nilai pelaburan sebanyak RM1 bilion.

 

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pelaburan tersebut juga bakal membuka lebih 260 peluang pekerjaan untuk rakyat Negeri Johor.

 

“Syukur Alhamdulillah, Syarikat EcoCeres Renewable Fuels Sdn. Bhd. melabur RM1 bilion dan bakal membuka lebih 260 peluang pekerjaan untuk rakyat Johor apabila ia dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2024.

 

“Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha penghasilan minyak dan bahan api lestari melalui sumber tumbuhan atau biodiesel seperti Minyak Sayuran Terhidrogenasi (HVO) dan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF),” jelasnya di laman Facebook rasminya.

 

Terdahulu, beliau merasmikan majlis pecah tanah kilang itu di Tanjung Langsat, Pasir Gudang dekat sini, hari ini.

 

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han.

 

Onn Hafiz berkata, pihaknya turut berterima kasih kepada syarikat berkenaan yang memilih Johor sebagai destinasi pelaburan pertama mereka bagi menghasilkan pengeluaran bahan api bio di Malaysia.

 

“Semoga segala yang dirancang akan membuahkan hasil dan seterusnya merealisasikan hasrat Negeri Johor menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030,” tambahnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor