KERAJAAN NEGERI BAKAL TUBUHKAN RMMJ DI RENGGAM


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor turut melibatkan Pusat Khidmat ADUN Machap dan Layang-Layang serta syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) dalam taskforce RMMJ ini. | Foto ihsan Facebook Mohd Jafni Md Shukor

 

ISKANDAR PUTERI — Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di Renggam akan dibina bagi memenuhi keperluan perumahan rakyat Johor di sekitar Simpang Renggam.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, berkata pihaknya telah menubuhkan sebuah jawatankuasa RMMJ Renggam bersama beberapa agensi Kerajaan.

 

“Saya juga turut mempengerusikan mesyuarat pertama bagi penubuhan ‘taskforce’ RMMJ Renggam bersama Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) dan Pejabat Tanah Daerah Kluang.

 

“Selain itu, turut dilibatkan dalam taskforce ini ialah Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap dan Layang-Layang serta syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) bagi menggerakkan pembinaan RMMJ Renggam,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasminya.

 

Beliau turut memastikan pembinaan RMMJ dengan keterlibatan agensi yang ada dapat dilaksanakan secepat mungkin.

 

EXCO Kerajaan Negeri itu juga turut mengadakan perbincangan bersama pihak MDSR yang menekankan beberapa isu kritikal Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang memerlukan perhatian secara terperinci dari pihak Kerajaan Negeri.

 

Selesai mesyuarat bersama ‘taskforce’ RMMJ dan pihak MDSR, beliau kemudiannya mengadakan lawatan ke tapak Rumah Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) Layang-Layang.

 

Mengulas lanjut, Mohd Jafni berkata, projek ini mempunyai 125 unit rumah yang telah diluluskan sejak 2015 dan tertangguh atas faktor penamatan kontraktor.

 

“Kerja binaan atas tapak ketika sedang dilaksanakan telah mencapai lebih 80 peratus pembangunan siap. Pihak KEJORA sedang berusaha menyiapkan baki kurang 20 peratus pembangunan rumah ini dengan kerjasama semua pihak.

 

Ujarnya, ia adalah arahan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi kepadanya supaya konsisten dalam memantau kemajuan pembinaan projek-projek perumahan di negeri ini supaya dapat menyelesaikan isu yang melibatkan kebajikan rakyat Negeri Johor.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor