JELAJAH MUHIBBAH SANTUNI MASYARAKAT ORANG ASLI JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip (kiri) meneruskan jalinan rapat dengan Orang Asli di Johor menerusi program siri Jelajah Muhibbah ke kampung-kampung masyarakat tersebut di Negeri Johor. | Foto MDJ Saufi Razale

 

PONTIAN — Hubungan akrab antara pemimpin kerajaan dan masyarakat Orang Asli di Johor sememangnya sudah lama terjalin lebih-lebih lagi melibatkan Institusi Diraja Johor dan para pemimpin Kerajaan Negeri.

 

Terbaharu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip meneruskan jalinan rapat dengan Orang Asli di Johor menerusi program siri Jelajah Muhibah ke kampung-kampung masyarakat tersebut di Negeri Johor.

 

Penulis berpeluang menyertai rombongan Exco Kerajaan Negeri ke daerah Pontian. Perjalanan yang memakan masa kira-kira 45 minit dari Iskandar Puteri telah membawa kami ke Kampung Sri Mahkota terletak di bandar penghujung benua asia itu.

 

Datang dengan sederhana, rombongan kami disambut mesra oleh Tok Penghulu, Osman Abu Bakar bersama-sama dengan penduduk kampung daripada suku kaum Orang Asli Kuala.

 

Siapa sangka, sebuah perkampungan yang terletak di tengah bandar Pontian itu merupakan perkampungan Orang Asli Kuala yang mempunyai kira-kira 124 buah keluarga melibatkan hampir 1,000 penduduk menetap di perkampungan yang dilengkapi dengan kemudahan gelanggang futsal, surau, balai raya dan kedai runcit.

 

Zahari berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menjaga hubungan baik bersama Orang Asli yang telah dijalin selama ini bagi memastikan kebajikan mereka terjaga.

 

“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri kini sedang menjalankan satu program berbentuk jelajah iaitu Jelajah Muhibbah di mana kita akan melawat kampung-kampung Orang Asli di Negeri Johor. Sehingga kini, sudah hampir 10 buah kampung kami kunjungi dan InsyaAllah kita cuba pergi ke semua perkampungan.

 

“Di Johor, kita ada 60 buah kampung dan 46 orang batin atau tok penghulu. Dalam jelajah ini, saya akan bawa sekali pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Johor untuk sama-sama kita eratkan silaturrahim dengan mereka,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor.

 

Zahari berkata, beliau sendiri teruja mendengar perkongsian daripada Tok Penghulu serta melihat sendiri suasana kehidupan masyarakat Orang Asli di sini selain boleh mengenali lebih dekat suku kaum Orang Asli yang terdapat di Negeri Johor.

 

“Kalau Tok Osman tak perkenalkan dia Tok Batin (Penghulu) di sini, memang saya tak tahu dia Orang Asli. Tok Osman juga memaklumkan di sini telah berlaku perkahwinan campuran dan ia menunjukkan masyarakat di sini lebih terbuka.

 

“Saya juga difahamkan ramai anak-anak keluarga di sini yang mempunyai profesyen yang baik. Ada yang sekarang ini berkhidmat sebagai Pengarah JAKOA Perak, guru sekolah dan ada yang menjadi usahawan berjaya,” tambahnya.

 

Tambah Zahari, beliau akan memanjangkan cadangan kepada Kerajaan Negeri agar menyediakan peruntukan bagi elaun khas kepada Tok Batin di Johor.

 

“Difahamkan setakat ini, mereka (Tok Batin) menerima elaun sebanyak RM900 itu pun daripada Kerajaan Persekutuan. Maka, saya akan mencadangkan kepada Kerajaan Negeri agar dipertimbangkan sedikit sumbangan kepada semua Tok Batin di Negeri Johor.

 

“Ia sebagai insentif dan juga penghargaan kepada mereka memandangkan sumbangan mereka yang menjaga anak buah di kampung masing-masing sehingga ada yang berjaya.

 

“Contohnya, kita boleh lihat di Kampung Sri Mahkota ini macam mana Tok Osman dapat menerapkan satu pemikiran yang lebih terbuka dalam hidup mereka,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor