JAINJ PASTIKAN ‘GANG BANG JB PARTY’ TIDAK BERLAKU


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) memastikan kegiatan tidak bermoral itu dicegah dan dibanteras. | FOTO MDJ, Nurina Aisyah

 

JOHOR BAHRU — Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) memberi jaminan ‘Gang Bang JB Party’ tidak akan berlaku meskipun penganjur menukar tarikh dan lokasi penganjuran.

 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) memastikan kegiatan tidak bermoral itu dicegah dan dibanteras.

 

“Apa jua tarikh yang dia buat, (atau) tempat mana pun dia ubah, tidak diizinkan perkara terkutuk ini berlangsung.

 

“Kita akan pastikan ia tidak akan dilaksanakan. Itu komitmen kita,” katanya kepada pemberita pada sidang media Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) dan Sijil Menengah Agama (SMA) di Pusat Islam Iskandar, hari ini.

 

Berkongsi mengenai perkembangan kes tersebut, Mohd Fared berkata, halaman dan platform mempromosi kegiatan sumbang itu sudah tidak dapat diikuti serta telah ditutup.

 

Bagaimanapun, ujarnya, JAINJ bersama PDRM akan terus memantau dan meneliti halaman serta platform media sosial yang sudah dikenal pasti, untuk mengekang pesta terkutuk itu.

 

“Ketika ini dalam siasatan PDRM. Mereka yang bertanggungjawab terhadap program yang tidak bertamadun ini akan diambil tindakan.

 

“Setakat ini (pesta lain seumpamanya yang dikenal pasti) tiada lagi. Tapi saya pelawa warga maya, jika perkara terkutuk ini dilaksanakan di Johor, kongsikan kepada saya dan JAINJ. Kita sama-sama cegah,” katanya.

 

Ditanya sama ada identiti penganjur pesta seks bebas itu telah dikenalpasti atau tidak, beliau memberitahu pihak berkenaan sudah dikesan.

 

“Anda sudah diketahui. Sembunyilah dekat mana pun, saya percaya dengan kehebatan PDRM. Saya sudah berhubung dengan Ketua Polis Negeri. Anda sedang diperhatikan,” katanya.

 

Mohd Fared turut menasihatkan umat Islam untuk tidak bersubahat dan menyertai program seumpama itu, sebaliknya menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa.

 

“Identiti pengadu akan dirahsiakan dan biarlah saya sendiri, pihak jabatan dan polis melaksanakan tindakan selanjutnya. Nampak yang pelik, pesta yang bukan-bukan, tolong ‘jaga tepi kain orang’ pasal hal-hal macam ini. Kita boleh cegah daripada perkara ini berlaku,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor