JOHOR AGRESIF BUAT PERSIAPAN


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Kerajaan Negeri menerusi Tourism Johor sentiasa memperhebatkan persiapan menjelang Tahun Melawat Johor 2026 menerusi peruntukan RM67.6 juta diumumkan dalam Belanjawan Johor 2024 bagi menjadikan Negeri Johor sebagai destinasi pelancongan menarik di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

 

Menerusi peruntukan berkenaan, dua strategi digariskan meliputi usaha menaik taraf infrastruktur sedia ada serta memperkasakan promosi produk pelancongan menerusi penganjuran acara bertaraf antarabangsa dan pemberian bantuan insentif kepada pemain industri.

 

Sebanyak 10 projek menaik taraf infrastruktur pelancongan dijangka siap pada tahun ini melibatkan bina baharu bumbung kanopi Kompleks Pelawat Air Terjun Gunung Ledang, laman tiba Taman Negara Johor Tanjung Piai dan Kompleks Pelawat Taman Negara Johor Endau-Rompin (Peta).

 

Selain itu, antara infrastruktur pelancongan lain yang turut diberi wajah baharu adalah Taman Eko Rimba Sungai Bantang di Segamat dan Gunung Berlumut di Kluang, Muzium Tokoh Johor, Zoo Johor, trek ‘mountain bike’ di Hutan Simpan Gunung Pulai di Kulai serta Pantai Air Papan di Mersing.

 

Empat projek iaitu Dataran Tasik Bandar Penawar di Kota Tinggi, Pantai Teluk Mahkota, pembangunan ‘River Cruise’ di Kota Tinggi, pembangunan semula ekopelancongan Kampung Sungai Melayu serta tapak perkhemahan, taman permainan dan kolam mandi di Hutan Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) pula dijangka siap tahun hadapan.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menjawab soalan mengenai persiapan Tahun Melawat Johor 2026 secara bersekali pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor