PROJEK ‘NASI’ RINGANKAN BEBAN GOLONGAN MISKIN BANDAR


Salah seorang ibu tunggal yang menerima pek makanan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang. | Foto Ihsan Johor Relief

 

Berpegang erat kepada kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, menyebabkan gabungan tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Ihsan Johor, Yayasan Kebajikan Suria Johor Bahru dan sokongan daripada Social Hero Foundation berganding bahu melaksanakan kempen Projek Nasi Asih Suria Ihsan (NASI).

 

Uniknya, kempen berkenaan yang menyasarkan golongan miskin bandar itu menawarkan menu pemakanan sihat pada kadar terendah berbanding harga pasaran sebenar iaitu RM2.50 dan sejak ia dilancarkan, program ini sudah berjaya mengedarkan lebih dari 1,300 bungkusan makanan kepada golongan yang memerlukan.

 

Selain dapat menyediakan makanan pada harga yang murah, program yang turut mendapat tajaan daripada beberapa pihak itu turut membantu menambah pendapatan golongan ibu tunggal dengan memberi upah kepada mereka yang turut bertanggungjawab dalam penyediaan makanan berkenaan.

 

“Selain dapat membantu golongan miskin bandar mendapatkan makanan sihat, ibu tunggal yang terlibat secara langsung dalam projek NASI ini juga merupakan individu yang telah mendapat bantuan daripada Ihsan Johor sebelum ini dan sekarang wanita-wanita cekal ini menjadi tonggak utama untuk projek ini,” ujar Haji Ar. Razin Mahmood, Presiden Pertubuhan Ihsan Johor.

 

Ar. Razin berkata, pihaknya berharap inisiatif ini bukan sahaja dapat membantu golongan berkenaan mendapat makanan tetapi mereka juga akan dapat keluar daripada kepompong kemiskinan pada masa depan, selain menyasarkan kempen ini akan mencapai sasaran 10,000 bungkus makanan dapat disediakan menjelang hujung tahun ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor