JOHOR BERSIH SENTIASA JADI KEUTAMAAN


Gambar hiasan. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Memastikan kebersihan persekitaran melalui permuafakatan semua pihak termasuklah pemimpin dan masyarakat setempat serta pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) terus diberikan keutamaan Kerajaan Negeri dalam usaha menjayakan agenda Johor Bersih yang diperkenalkan sejak dua tahun lalu.

 

Agenda murni yang telah diperluaskan ke kawasan luar bandar dan sungai pada awal tahun ini menjadi menjadi aktiviti serampang dua mata apabila matlamat akhirnya bukan sahaja menjurus kepada aspek kebersihan semata-mata malah merakyatkan pentadbiran Kerajaan Negeri.

 

Komitmen untuk memastikan kebersihan sungai-sungai yang utama sekitar bandar raya Johor Bahru diterjemahkan melalui inisiatif Johor Bersih @ Sungai Bersih yang menerima peruntukan signifikan sebanyak RM2.4 juta dalam Belanjawan Johor 2024.

 

Melalui peruntukan diterima, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Johor bersama PBT dan agensi-agensi angkat telah diamanahkan untuk menjaga kebersihan sungai di mana 10 gerak kerja dilaksana iaitu pembersihan fizikal dan mekanikal, penggunaan perangkap sampah serta penguatkuasaan undang-undang.

 

Pendekatan agresif tersebut telah membuahkan hasil apabila sebanyak 17.97 tan sampah dikutip dalam tempoh sebulan lalu dalam program Johor Bersih @ Sungai Bersih di Sungai Skudai, Sungai Tebrau, Sungai Batu Pahat dan terbaharu Sungai Pontian Besar di Kampung Sri Dungun dekat Pontian.

 

Bagi meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga kebersihan persekitaran, YB Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor komited untuk terus memperkasakan agenda Johor Bersih di peringkat kampung dengan fokus terhadap aktiviti pembersihan sungai.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor