JOHOR INSIGHT BANTU BAKAL PELABUR KENAL PASTI PROSPEK


Foto MDJ Wira Anggara

 

Inisiatif Johor Insight yang diperkenalkan di dalam Belanjawan Johor 2024 berperanan sebagai sumber rujukan awal kepada bakal pelabur, pihak berkepentingan dan Kerajaan Negeri dengan penyediaan data industri serta bakat.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han ketika penggulungan pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2024) memaklumkan, inisiatif itu juga membantu mengenal pasti kos menjalankan perniagaan berserta proses bagi memudahkan pelabur.

 

Selain itu, Johor Insight akan memberi fokus kepada perancangan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura dan Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City melalui insentif dan rangka kerja pentadbiran untuk memastikan kejayaan pelaksanaan kedua-dua zon khas tersebut.

 

Untuk rekod, sejumlah RM500,000 diperuntukkan untuk inisiatif Johor Insight dalam pembentangan Belanjawan Johor 2024 oleh Menteri Besar, Dato’ Onn Hafiz Ghazi sebagai usaha menggalakkan misi pelaburan serta memperkukuh jaringan perniagaan di peringkat serantau dan global.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor