JOHOR PERUNTUK LEBIH RM40 JUTA BANTUAN BANJIR, AIDILFITRI

Kenyataan Media YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri melalui pelbagai agensi mengumumkan pelbagai bentuk bantuan melibatkan peruntukan berjumlah kira-kira RM43.05 juta untuk meringankan beban rakyat membuat persediaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM11.25 juta disalurkan untuk Bantuan Khas Kewangan Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) kepada 3,749 Ketua Isi Rumah (KIR) berdaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diikuti RM18.45 juta bagi Bantuan Hari Raya Aidilfitri kepada 90,439 penerima asnaf fakir dan miskin.
Sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan bagi Bantuan Hari Raya Aidilfitri kepada 5,000 orang Saudara kita dan Orang Asli dari asnaf muallaf diikuti RM3.4 juta bantuan ‘one-off’ sebanyak RM500 kepada 6,970 imam dan bilal serta RM323,000 untuk Bantuan Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM500 kepada 646 orang Ketua Kampung.
Kerajaan Negeri turut memberikan bantuan ‘one-off’ RM500 melibatkan peruntukan RM34,500 kepada 43 orang Batin Orang Asli dan 26 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli selain RM120,100 untuk Bantuan Sumbangan Aidilfitri Anak Angkat Makmur Johor sebanyak RM100 kepada 1,201 orang.
Selain itu, sebanyak RM70,000 diperuntukkan untuk Tajaan Pengangkutan Mahasiswa Anak Johor Pulang ke Kampung melibatkan penyediaan 30 bas yang membawa 550 mahasiswa diikuti RM1.6 juta bagi Jualan Kasih Johor di 57 lokasi serta RM787,050 untuk inisiatif bakul makanan yang memberi manfaat kepada 15,741 penerima di 15 Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan 7 Rumah Sewa Kerajaan (RSK).
Bagi menghargai jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan serta petugas kesihatan, sebanyak RM5.49 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri untuk Bantuan Khas Hari Raya Aidilfitri yang memberi manfaat kepada 54,901 anggota barisan hadapan terdiri pelbagai jabatan dan agensi di negeri ini.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor