JOHOR PERUNTUK RM163 JUTA PERKASA AGENDA PENDIDIKAN

YB Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor berkata Kerajaan Johor memperuntukkan RM163 juta bagi memperkasa agenda pendidikan yang memberi manfaat kepada murid, guru dan mahasiswa anak Johor. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#JohorBahru – Kerajaan Johor telah memperuntukkan sebanyak RM163 juta bagi memperkasa agenda pendidikan menerusi pengenalan pelbagai inisiatif yang berupaya memberi manfaat kepada murid, guru serta mahasiswa anak Johor, sekali gus memperkukuh pembangunan modal insan dan ekosistem pendidikan di negeri ini.
Peruntukan besar itu adalah sebahagian daripada 35 inisiatif di bawah portfolio pendidikan dan penerangan yang berjumlah RM174.8 juta yang dilaksanakan bagi menyokong pembangunan pendidikan secara menyeluruh.
Antara inisiatif utama yang telah dilaksanakan ialah Program Back To School yang menerima peruntukan sebanyak RM28.8 juta bagi membantu 189,000 murid daripada keluarga B40 dan asnaf untuk membuat persediaan menghadapi sesi baharu persekolahan.
Kerajaan Johor juga turut meneruskan Bantuan Khas Bilik Guru dengan peruntukan sebanyak RM5.975 juta pada tahun ini yang memberi manfaat kepada 49,602 guru di 1,195 sekolah di seluruh negeri ini sebagai usaha untuk meningkatkan keselesaan ruang kerja warga pendidik.
Selain itu, sebanyak RM2.95 juta pula diperuntukkan bagi memperkasakan peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) yang melibatkan 1,780 sekolah kebangsaan dan sekolah agama kerajaan termasuk 10 PIBKS daerah.
Tidak cukup dengan itu, komitmen Kerajaan Johor dalam memperkasakan sektor pendidik di negeri ini diteruskan menerusi pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM54 juta bagi menaik taraf infrastruktur serta melaksanakan modul pendidikan berimpak tinggi di empat sekolah terpilih bermula sesi 2025/2026.
Komitmen memperkasa agenda pendidikan ini turut diterjemahkan menerusi sokongan berterusan terhadap peranan Guru Besar sebagai pemimpin perubahan yang memacu budaya pembelajaran, inovasi serta pembangunan murid selaras dengan cabaran era digital.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam sempena Konvensyen Antarabangsa Guru Besar dan Persidangan Agung Tahunan Persatuan Guru Besar Malaysia Kali Ke-4 Tahun 2026 di KSL Hotel & Resort, Johor Bahru.
#JohorSafeZone
#PendidikanBangsaJohor
#JohorLeads
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


