JOHOR SASAR 20 SYARIKAT MELABUR DI BAWAH ZON EKONOMI KHAS


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir ke program Invest Johor 2024: The Next Growth Epicentre di Forest City Marina Hotel. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Kerajaan Negeri menyasarkan kira-kira 20 syarikat terkemuka bagi membuat pelaburan di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bagi merangsang pembangunan ekonomi dan mencipta ratusan ribu peluang pekerjaan kepada Bangsa Johor selain menghadirkan kesan berganda terhadap ekonomi setempat.

 

Sasaran tersebut juga dibuat bagi memperkukuh nilai rantaian bekalan seterusnya mengisi jurang tenaga mahir dalam negeri dan negara menerusi kemasukan pelabur asing terutamanya dari sektor disenaraikan seperti ekonomi digital, tenaga, logistik, penjagaan kesihatan, pembuatan lanjutan (advanced manufacturing) serta peranti perubatan.

 

Malah, usaha bagi memantapkan tawaran dan memperincikan butiran perjanjian JS-SEZ yang bakal merangsang pembangunan ekonomi akan terus diperkasa oleh Kerajaan Johor menerusi perbincangan kumpulan fokus (FGD) dan bengkel melibatkan kedua-dua negara sebelum perjanjian bersama ditandatangani pada hujung tahun ini.

 

Selain itu, Kerajaan Johor juga komited memastikan infrastruktur bekalan air mencukupi dan mampan bagi memenuhi kehendak pemain industri terutama dalam industri pusat data yang telah berkembang pesat di negeri ini sejak 2022 termasuk penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Pusat Data Johor bagi memastikan pembangunan pusat data dapat dirancang dengan lebih rapi.

 

Ia termasuk usaha melibatkan Ranhill SAJ Sdn. Bhd. (Ranhill SAJ) dan Johor Special Water (JSW) bagi menjalankan kajian penggunaan teknologi baharu kepada para pelabur pusat data bagi memastikan penggunaan air yang mampan seterusnya tidak menjejaskan bekalan utiliti tersebut kepada pengguna domestik.

 

Terdahulu, berlangsungnya program Invest Johor 2024: The Next Growth Epicentre di Forest City Marina Hotel yang turut dihadiri oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dan YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor