JOHOR, SINGAPURA BINCANG CADANGAN WUJUD PERKHIDMATAN FERI


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, cadangan mewujudkan perkhidmatan berkenaan antara perkara dibincangkan dalam pertemuan bersama Menteri Pengangkutan Singapura, S. Iswaran. | Foto ihsan FB Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri serius dalam meningkatkan kesalinghubungan antara Johor dan Singapura menerusi kewujudan perkhidmatan feri dari Puteri Harbour, di sini, ke negara jiran.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, cadangan mewujudkan perkhidmatan berkenaan antara perkara dibincangkan dalam pertemuan bersama Menteri Pengangkutan Singapura, S. Iswaran.

 

“Kami turut membincangkan cadangan mewujudkan perkhidmatan feri dari Puteri Harbour ke Singapura, bagi menambah kemudahan pengangkutan awam antara Johor dan Singapura.

 

“Jika hasrat ini dapat direalisasikan, sudah tentu ia mampu mengurangkan kebergantungan kepada jalan darat, meningkatkan kesalinghubungan yang bukan sahaja penting untuk logistik perniagaan, tetapi juga hubungan sesama rakyat kedua-dua negara,” katanya dalam Facebook rasminya, pada Jumaat.

 

Terdahulu, pertemuan bersama Iswaran yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Perhubungan Perdagangan Singapura berlangsung dalam rangka lawatan Menteri Besar Johor selama tiga hari ke negara jiran.

 

Onn Hafiz memberitahu telah membincangkan pelbagai perkara termasuklah penyelesaian isu kesesakan trafik di Tambak Johor dan Linkedua serta bagaimana aliran trafik boleh disepadukan dengan lebih teratur di kedua-dua negara.

 

“Semoga segala perkara yang direncanakan akan membuahkan hasil yang sudah pasti mampu memberi manfaat kepada Johor dan juga Singapura,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor