SMK BANDAR PUTRA BAWA NAMA NEGARA KE PENTAS DUNIA


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) sebanyak RM10,000 kepada pasukan NOVA. | Foto Ihsan FB Norliza Noh.

 

ISKANDAR PUTERI — Pasukan NOVA diwakili pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Putra, dekat Kulai, berjaya melayakkan diri ke pertandingan ‘F1 in Schools World Final 2023’ di Singapura, pada September nanti.

 

Perkara itu dikongsikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh yang bangga dengan pencapaian pelajar sekolah berkenaan kerana menyertai pertandingan ‘mini Formula One’ bertaraf antarabangsa itu.

 

Beliau akui teruja dapat melihat sendiri simulasi F1 hasil inovasi pelajar SMK Bandar Putera malah mendoakan pasukan NOVA mampu meraih kemenangan sekali gus mengharumkan nama Johor dan negara ke peringkat antarabangsa.

 

“Sesungguhnya, program-program penggalakan seperti ini seharusnya diperluaskan lagi ke sekolah-sekolah yang lain.

 

“Kerajaan Negeri Johor sentiasa memberikan sokongan dan dorongan kepada bakat-bakat muda kita untuk lebih berdaya maju di masa hadapan,” kata beliau yang hadir ke SMK Bandar Putra Kulai, pada Khamis.

 

Turut bersama dalam lawatan ke sekolah berkenaan adalah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ), Hishamuddin Abd Rahim yang turut menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada pasukan NOVA.

 

Norlizah merakamkan ucapan tahniah kepada Pengetua SMK Bandar Putra, Rahmat Baharudin atas usaha memimpin warga pendidik dan pelajar sekolah berkenaan dalam memperkasa kecemerlangan pendidikan negara.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor