118 KES MINGGUAN, 2 KEMATIAN AKIBAT DENGGI


Jumlah kes Denggi yang dicatatkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor sehingga 11 Februari 2023 / Gambar Ihsan Jabatan Kesihatan Negeri Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) memaklumkan terdapat 29 lokaliti wabak Denggi di seluruh negeri ini dengan 118 kes Denggi direkodkan secara mingguan, selain terdapat dua kes kematian akibat penyakit bawaan nyamuk Aedes itu.

Pihak berkuasa kesihatan itu dalam kenyataan di laman sosial Facebook rasminya memaklumkan, secara kumulatif, jumlah kes Denggi di Johor merekodkan 855 kes dengan Johor Bahru adalah daerah tertinggi iaitu mencatatkan 629 kes termasuk 13 kes baharu.

Ia diikuti daerah Kulai yang mencatat kumulatif 49 kes dengan tiga kes baharu dan daerah Ledang dengan 25 kes termasuk satu kes baharu.

Daerah lain walaupun mencatat jumlah kumulatif yang tinggi sebelum ini namun menunjukkan petanda positif apabila tidak mencatatkan sebarang kes baharu bagi tempoh sama.

JKNJ turut memaklumkan terdapat 29 lokaliti wabak denggi di seluruh negeri ini dan kebanyakan punca pembiakan Aedes ditemui di kawasan kediaman iaitu membabitkan tempat atau bekas penyimpanan air.

Selain itu, persekitaran luar rumah juga turut menyumbang pembiakan serangga terbabit apabila penemuan bekas terbiar yang boleh menakung air seperti tayar dan alas pasu bunga menjadi habitat pembiakan Aedes.

Begitu juga dengan kawasan kebun berhampiran kediaman dan juga halaman belakang rumah yang masih menjadi lokasi berisiko pembiakan Aedes berikuran ia tidak diuruskan dengan baik.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor