JOHOR BAKAL JADI PENERAJU PENGANGKUTAN HIJAU

YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor serta YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor hadir merasmikan program Asia EV Motion 2025 di Fasiliti Sun Bus Tech, Senai. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#Kulai – Johor berada di landasan tepat sebagai peneraju pengangkutan hijau di Malaysia menerusi pemeteraian perjanjian kerjasama strategik melibatkan empat syarikat bagi merealisasikan projek sistem Aliran Transit Automasi (ART) tenaga hijau di negeri ini.
Perjanjian ditandatangani oleh syarikat dari Malaysia, China dan Jepun itu melibatkan aspek pelaburan dan pemindahan teknologi dalam bidang pengangkutan pintar dan tenaga boleh diperbaharui serta penyediaan sistem pengangkutan awam lebih mesra alam.
Projek yang dijangka mula dilaksanakan pada suku ketiga tahun ini bagi menyokong pengoperasian Sistem Rapid Transit (RTS) Link Johor Bahru-Singapura menjelang 2027 itu bakal mengurangkan kesesakan lalu lintas dan mempercepatkan peralihan kepada mobiliti rendah karbon.
Selain itu, sistem pengangkutan ART juga seiring dengan Polisi Pengangkutan Hijau Negeri Johor yang telah menyasarkan pembinaan keseluruhan 1,245 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di seluruh negeri ini, menjelang tahun 2030.
Pada masa sama, Johor juga kini dalam usaha mengenal pasti beberapa lokasi untuk pembangunan ladang yang menggunakan tenaga solar sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui dalam menjayakan agenda Johor Green Deal.
Terdahulu, YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor serta YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor hadir merasmikan program Asia EV Motion 2025 di Fasiliti Sun Bus Tech, Senai, hari ini.
#JohorGreenDeal
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor