JPS LAKSANA TEBATAN BANJIR ATASI BANJIR DI MASAI


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Johor telah melaksanakan rancangan tebatan banjir Sungai Masai bagi mengatasi masalah banjir di kawasan Masai.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar berkata, pada ketika ini projek dalam peringkat rekabentuk dan dijangka akan siap proses rekabentuk pada tahun hadapan.

“Pelaksanaan fizikal pula dijangka akan bermula pada suku tahun keempat 2023 bergantung kepada peruntukan tahun semasa dan penyelesaian isu tanah di jajaran projek,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung mengenai kekerapan berlakunya banjir kilat di kawasan Masai dan Lebuhraya Pasir Gudang serta rancangan penyelesaiannya.

Raven Kumar berkata, sebanyak lima kejadian banjir direkodkan di sekitar kawasan Masai, manakala dua di Lebuhraya Pasir Gudang pada tahun ini.

“Bagi menyelesaikan isu banjir di Lebuhraya Pasir Gudang secara jangka pendek, JPS Negeri Johor telah membina dua unit pintu air dan meninggikan sebahagian tebing di Sungai Rinting.

“Bagi menghalang kemasukan air sungai ke dalam sistem perparitan di lebuhraya yang boleh menyebabkan kejadian ini berlaku,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor