JS-SEZ BERI LIMPAHAN MANFAAT KEPADA PKS
Penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka memberi limpahan manfaat kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini, sekali gus merangsang perkembangan pesat dan menghadirkan kesan berganda terhadap ekonomi setempat.
Menerusi kemasukan teknologi dibawa masuk pelabur ke dalam zon khas itu kelak, Prof. Madya Dr. L. Nanthakumar, Pensyarah Fakulti Pengurusan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yakin ia dapat membantu pengusaha PKS menghasilkan pengeluaran dalam skala besar di samping menikmati penjimatan kos.
Rangsangan terhadap sektor PKS menerusi pelaksanaan JS-SEZ juga secara tidak langsung akan menyediakan peluang pekerjaan lebih tinggi kepada Bangsa Johor yang berkemahiran di dalam bidang teknologi pembuatan dan pengeluaran berbanding tenaga kerja asing.
Mengambil contoh pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Shenzhen di China, Nanthakumar berpandangan satu bentuk koordinasi pembangunan ekonomi di setiap daerah perlu dibangunkan menerusi suntikan pelaburan dan tidak hanya tertumpu di wilayah SEZ sahaja, agar limpahan kemakmuran dapat dinikmati seluruh negeri.
Selain itu, hubungan baik Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Johor meningkatkan keyakinan kepada pelabur untuk melakukan pelaburan jangka masa panjang seterusnya merealisasikan kewujudan 100,000 peluang pekerjaan baharu di negeri ini, seperti dinyatakan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.
Pada masa sama, komitmen Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mewujudkan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC) di Johor mencerminkan sokongan penuh Kerajaan Persekutuan terhadap penubuhan JS-SEZ.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor