JSLC TERUS MENJADI PENTAS CUNGKIL BAKAT MUDA JOHOR: MB


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, JSLC akan terus menjadi pentas terbaik dalam mencungkil bakat-bakat muda Johor. | Sumber foto: Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI –– Majlis Pimpinan Pelajar Johor (JSLC) akan terus menjadi pentas terbaik dalam mencungkil bakat muda Johor.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, menerusi JSLC, Johor melaksanakan program kepimpinan anak muda bermula dari bangku sekolah.

 

“Usaha ini demi memastikan Johor tidak ketandusan pemimpin muda berkaliber dalam mencorak masa depan negeri ini ke tahap yang lebih baik.

 

“InsyaAllah, JSLC akan terus menjadi pentas terbaik dalam mencungkil bakat-bakat muda Johor,” kata beliau dalam Facebook rasminya.

 

Terdahulu, Menteri Besar Johor menghadiri Majlis Penyerahan Watikah Tamat Latihan Kohort-11 dan Lantikan Kohort-12 Ahli JSLC Tahun 2023.

 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Md. Said Md. Daimon; Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Management Development Institute of Singapore (MDIS) Malaysia, Prof. Hassan Ali serta Presiden Alumni JSLC, Muhammad Haziq Sahari.

 

Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan kepada Ahli JSLC Kohort-11 serta barisan Ahli JSLC Kohort-12 yang baharu.

 

“Tahniah saya ucapkan kepada Ahli JSLC Kohort-11 serta barisan Ahli JSLC Kohort-12 yang baharu.

 

“Semoga barisan ahli baharu ini dapat mengasah kemahiran kepimpinan mereka, serta mampu bergiat aktif menerusi pelbagai aktiviti anjuran JSLC,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor