JUMLAH MANGSA BANJIR DI PPS MENUNJUKKAN PENURUNAN


Pemeriksaan tahap kesihatan ke atas mangsa banjir terutama golongan rentan secara berkala di PPS antara gerak rutin dilakukan | Sumber gambar Apm Kluang.

 

ISKANDAR PUTERI — Lima lagi pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup hari ini, menjadikan keseluruhan 53 PPS masih beroperasi bagi menempatkan mangsa banjir di tujuh daerah.

 

Antara PPS yang telah ditutup adalah SJKC Ai Chun, Balairaya Kampung Sekijang, Balairaya Kampung Tungku Tiga dan Dewan Kampung Sungai Gatom di Segamat, serta Balairaya Kampung Melayu Batu 4 Paloh di Kluang.

 

Selain itu, dua PPS baharu dibuka masing-masing di Kota Tinggi dan Batu Pahat iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Mawai dan SK Sri Bertam.

 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor dalam laporan jam 4 petang memaklumkan, jumlah mangsa banjir menunjukkan penurunan.

 

Setakat ini, sebanyak 1,430 keluarga terdiri 5,111 penduduk masih berada di PPS berbanding 1,510 keluarga (5,476 penduduk) yang dilaporkan pada jam 2 petang tadi.

 

Sehingga kini, Segamat merekodkan sebanyak 17 PPS beroperasi diikuti Mersing (10), Kota Tinggi (10), Kluang (7), Batu Pahat (5), Muar (3) dan Pontian (1).

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor