MANGSA BANJIR DI PPS TERUS MENUNJUKKAN PENURUNAN


Jumlah mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah, terus menunjukkan penurunan.

 

ISKANDAR PUTERI — Jumlah mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah, terus menunjukkan penurunan.

 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam laporan jam 8 malam memaklumkan, jumlah terkini mangsa banjir di PPS adalah 4,575 penduduk terdiri 1,266 keluarga.

 

Menurut laporan tersebut, PPS yang masih beroperasi kini berjumlah 48 berbanding 53 dalam laporan jam 4 petang tadi.

 

Sebanyak enam lagi PPS di Segamat iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tenang Labis, Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah, Balairaya Kampung Usaha Jaya Labis, Balairaya Jalan Pemuda, SJKC Kampung Tengah dan Dewan Serbaguna Kampung Logah selain satu PPS di Muar iaitu SK LKTP FELDA Maokil 2 telah ditutup.

 

Bagaimanapun, dua PPS baharu telah dibuka iaitu Sekolah Agama Desa Mahkota di Kota Tinggi dan Balairaya Sri Pantai (HSO) di Mersing, hari ini.

 

Manakala PPS di tiga daerah iaitu Kluang kekal dengan tujuh yang masih beroperasi diikuti Batu Pahat (lima) dan Pontian (satu).

 

Selain itu, JPBN turut melaporkan tiga sub-lembangan iaitu Sungai Muar di Muara Sungai Gemas, Sungai Kahang di Kampung Contoh, Sungai Endau dan Sungai Lenik Ladang Chaah berada paras Bahaya.

 

Manakala Sungai Segamat di Segamat Kecil, Sungai Muar di Kampung Awat, Parit Tengah, Sungai Muar, Empangan Sembrong, Sungai Johor, Sungai Muar Buloh Kasap dan Sungai Bekok pada aras Amaran.

 

Setakat ini, tiada sebarang perubahan berkaitan maklumat jalan terputus hubungan dilaporkan, dan pemantauan terus dilakukan dari masa ke masa.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor