LIMA PUSAT PEMINDAHAN SEMENTARA DITUTUP HARI INI


Pemantauan sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) terhadap situasi banjir di Negeri Johor secara berterusan | Sumber gambar Facebook Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Kluang dan satu di Segamat ditutup hari ini, menjadikan keseluruhan 56 PPS masih beroperasi di daerah yang terjejas.

 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor dalam laporan jam 2 petang memaklumkan, empat PPS terbabit adalah SJKC Ping Ming, Balairaya Batu 6 Kampung Sri Lalang, Balairaya Kampung GSA Chamek dan Balairaya Kampung Muhibbah Paloh di Kluang serta Balairaya Kampung Sungai Lenek di Segamat.

 

Kesemua PPS itu dibuka pada 24 Januari lalu, bagi menempatkan mangsa banjir dari SPKR Yap Tau Sah, Taman Ria, Kampung GSA Chamek dan Kampung Muhibbah Paloh serta Kampung Sungai Lenek.

 

Bagaimanapun, sebuah lagi PPS dibuka dan beroperasi di Kota Tinggi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Telor pada jam 1.30 petang.

 

Selain itu, jumlah mangsa banjir di tujuh daerah menurun sedikit daripada 5,528 penduduk pada jam 12 tengah hari kepada 5,427 penduduk yang terkini.

 

Setakat ini, jumlah daerah yang terjejas akibat banjir di Negeri Johor masih kekal sama iaitu Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Mersing, Batu Pahat, Muar dan Pontian melibatkan keseluruhan 1,500 keluarga.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor