JOHOR SEBAGAI HAB SUKAN TANAH AIR : EXCO KERAJAAN JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah ketika menyampaikan Amanat Awal Tahun 2023.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor berhasrat menjadikan negeri ini, sebagai hab sukan tanah air, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah.

 

Beliau berkata, dengan infrastruktur sukan dimiliki ketika ini berserta penyelenggaraan yang baik, kemudahan tersebut boleh memberi pulangan kepada jabatan mahupun kerajaan.

 

“Saya difahamkan Perbadanan Stadium Johor (PSJ) telah mencatat kutipan hasil tertinggi setakat ini iaitu sebanyak RM1.6 juta. Tahniah diucapkan. Saya berharap pencapaian ini diteruskan dan diperkasakan dengan mempelbagaikan lagi sumber kewangan PSJ bagi menampung kos-kos operasi dan penyelenggaraan venue.

 

“Saya percaya dengan kemeriahan sukan di Johor ini akan membantu PSJ untuk menjana keuntungan dan pendapatan seterusnya dipulangkan semula kepada Bangsa Johor dengan infrastruktutr sukan yang lengkap dan berkualiti,” katanya pada Majlis Amanat Awal Tahun 2023 dan Majlis Penyampaian Insentif Khas Kepada Ketua-Ketua Jurulatih Sukan Sempena SUKMA XX MSN 2022, hari ini.

 

Selain itu, Mohd Hairi dalam amanatnya turut mengingatkan semua jabatan dan agensi di bawah portfolionya untuk bersama menjaga amanah kerja yang dipertanggungjawabkan.

 

“Lakukan dengan penuh dedikasi, berhemah dan penuh integriti supaya rakyat di luar sana yang melihat kita ini, tidak sewenang-wenangnya membuat tohmahan negatif.

 

“Lakukan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan fokus khususnya bagi tahun 2023 ini, untuk kita sama-sama memastikan agenda menjadikan Johor sebagai hab sukan tanah air dapat direalisasikan,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor