KERAJAAN AMBIL LANGKAH PRO-AKTIF BERHADAPAN BANJIR DAN KEMARAU


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan mengambil beberapa langkah pro-aktif sebagai persediaan berhadapan fenomena banjir kilat, banjir pantai dan kemarau.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar berkata, faktor perubahan iklim memberi kesan kepada corak fenomena tersebut.

“Untuk banjir kilat, pada tahun 2021, JPS telah menambahbaik dokumen Hydrological Procedure No.1 bertajuk ‘Estimation of the Design Rainstorm in Peninsular Malaysia’.

“JPS juga sedang menyiapkan Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA). Bagi kenaikan aras laut, Pelan Pesisir Pantai Bersepadu (ISMP) bagi Johor Timur telah pun disiapkan pada tahun 2021,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Raven Kumar berkata, bagi meningkatkan keberkesanan sistem ramalan dan amaran banjir Negeri Johor, sejumlah RM19 juta telah diluluskan Kerajaan Persekutuan.

“Projek yang sedang berjalan ini dan dijangka siap pada awal tahun 2023 akan menaiktaraf 140 stesen hidrologi dan akan membina baru stesen hidrologi di 100 lagi lokasi.

“Bagi fenomena kemarau, JPS sedang melaksanakan National Water Balance Study bagi Sungai Muar, Kesang, Johor dan Sedili Besar bagi memastikan sumber air sentiasa mencukupi di setiap lembangan tersebut,” katanya.

Selain itu, ujarnya, JPS Negeri Johor sentiasa memberikan kerjasama dalam menyediakan data hujan dan aras air sungai bagi kegunaan semua agensi berkaitan sebagai persediaan.

“Jabatan juga akan sentiasa peka dengan memberikan amaran kepada semua jawatankuasa bencana peringkat daerah jika berlaku kejadian hujan lebat dan air pasang besar yang boleh menyebabkan risiko banjir.

“JPS Negeri Johor juga akan sentiasa bekerjasama dengan PBT dengan melaksanakan MoU dalam memastikan pelaksanaan kerja pelengkap untuk pencegahan banjir,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor