KERAJAAN JOHOR DIDEDAHKAN CARA SINGAPURA URUS SUNGAI, BANJIR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama delegasi kerajaan negeri berpeluang mendengar taklimat oleh Lembaga Utiliti Awam (PUB) Singapura dalam lawatan kerja rasmi di negara jiran | Sumber gambar Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Lawatan kerja rasmi Menteri Besar Johor ke Singapura, membuka peluang kepada delegasi kerajaan negeri menerima pendedahan berhubung mekanisme negara jiran menguruskan sungai dan bencana banjir.

 

Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, beliau berkesempatan belajar dengan lebih mendalam cara Singapura membersihkan sungai-sungainya dan langkah mitigasi banjir yang terancang.

 

“Saya mendengar taklimat oleh Lembaga Utiliti Awam (PUB) Singapura berkenaan Program Air dan Empangan Marina; Aktif (Active), Indah (Beautiful) dan Bersih (Clean) (ABC).

 

“Saya berpeluang untuk melawat kawasan Empangan Marina (Marina Barrage). Dengan kelebaran seluas 350 meter, ianya mampu menghalang penerobosan air masin dan juga berfungsi sebagai tebatan banjir di tengah-tengah bandar Singapura,” kata beliau di Facebook rasminya.

 

Onn Hafiz memberitahu telah diberikan penerangan mengenai Loji Penyahgaraman berfungsi merawat air di permukaan mahupun air laut, selain kemampuan menghasilkan 137,000 kubik meter air atau kira-kira 30 juta gelen air bersih sehari.

 

“Johor juga sedang dan akan terus berusaha membersihkan sungai dan mengurangkan risiko banjir,” kata beliau.

 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Dato’ Dr. Azfar Mohamad Mustafar.

 

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Johor Economic, Tourism and Cultural Office Singapore (JETCO), Saifuddin Abdul Rahim; Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kulai, Natazha Hariss serta Konsulat Jeneral Singapura di Johor Bahru, Jeevan Singh.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor