PROJEK RTS KEUTAMAAN MALAYSIA-SINGAPURA


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bertemu Menteri Pengangkutan Singapura yang juga Menteri Pengangkutan Singapura, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Perhubungan Perdagangan Singapura, S Iswaran | Sumber gambar Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Pelbagai perkara melibatkan jajaran lintas sempadan antara Johor Bahru dan Singapura dibincangkan dalam pertemuan Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama Menteri Pengangkutan Singapura, S. Iswaran.

 

Menteri Besar Johor berkata, beliau bersama Menteri Bertanggungjawab bagi Perhubungan Perdagangan Singapura itu bersetuju projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru – Singapura merupakan keutamaan bagi Malaysia dan Singapura.

 

“Ia penting dalam usaha meningkatkan kesalinghubungan, yang bukan sahaja penting untuk logistik perniagaan, tetapi juga hubungan sesama rakyat kedua-dua negara.

 

“Saya menyambut baik cadangan Iswaran agar dalam kita memantau secara dekat perkembangan projek infrastruktur tersebut, kita juga perlu menetapkan sasaran jangka masa pendek dan sederhana, supaya kemajuan projek kekal dalam landasan yang ditetapkan,” kata beliau di Facebook rasminya, semalam.

 

Onn Hafiz berkata, beliau turut mengulangi komitmen disampaikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, mengenai penambahan laluan motosikal di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

 

“Umum mengetahui tambak Johor-Singapura sebagai antara laluan darat tersibuk di dunia, dengan lebih 300,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, berulang-alik setiap hari dari Johor Bahru.

 

“Saya juga berkongsi keterbukaan Dato’ Seri Anwar (Ibrahim) untuk melihat kepada cadangan melebarkan laluan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) ke Johor. Sudah semestinya hasrat ini, jika direalisasikan, dapat memberi manfaat kepada komuniti perniagaan di Singapura yang ingin melabur di Malaysia,” katanya.

 

Selain itu, beliau juga mengemukakan cadangan perkhidmatan feri baharu dari Puteri Harbour ke Tuas, yang bertujuan sebagai antara solusi dalam mengurangkan kesesakan laluan di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

 

“Saya sekali lagi menzahirkan tekad Kerajaan Negeri Johor dalam segala usahasama antara Johor-Singapura pada masa akan datang. Keakraban ini begitu signifikan untuk kedua belah pihak,” kata beliau lagi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor