KERAJAAN JOHOR HULUR BANTUAN MANGSA KEBAKARAN SMK SERI KENANGAN


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh mengadakan lawatan ke SMK Seri Kenangan, Segamat, pada ahad. | Foto Ihsan FB Norliza Noh.

 

ISKANDAR PUTERI — Prihatin dengan nasib pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kenangan, dekat Segamat, yang terlibat dengan kejadian kebakaran, Kerajaan Johor menghulurkan bantuan bagi meringankan beban ditanggung.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh berkata, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersetuju memberikan bantuan dua pasang pakaian sekolah dan wang tunai RM100 kepada mangsa.

 

“Terima kasih YAB Menteri Besar Johor di atas keprihatinan yang diberikan. Di kesempatan ini juga, saya mewakili Kerajaan Negeri Johor ingin mengucapkan salam takziah kepada pelajar-pelajar dan guru-guru SMK Seri Kenangan, Segamat di atas ujian yang dihadapi ini. Semoga dipermudahkan segala urusan kita semua,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

 

Norlizah berkata, SMK Seri Kenangan diuji dengan kejadian kebakaran pada 1.45 hingga 3 pagi pada Ahad, namun api berjaya dikawal kira-kira jam 3.45 pagi dan kemusnahan lebih besar berjaya dielakkan.

 

Ujarnya, sebahagian blok asrama lelaki terbakar dan menyebabkan kerosakan peralatan serta barang-barang peribadi milik pelajar termasuk pakaian sekolah.

 

“Syukur, tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Setakat ini semua penghuni asrama telah ditempatkan sementara di surau Blok B bagi tujuan keselesaan dan keselamatan pelajar.

 

“Pihak sekolah telah menghubungi ibu bapa dan penjaga pelajar yang terlibat serta membenarkan anak-anak mereka pulang atau sebalinya kerana sebahagian pakaian dan keperluan pelajar telah musnah terbakar,” katanya.

 

Beliau turut memaklumkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Segamat bersama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) kini dalam tindakan membuat anggaran kerosakan bagi tujuan penyelenggaraan.

 

Selain itu, katanya, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Elektrik juga telah dihubungi bagi pemeriksaan pendawaian.

 

“Punca insiden kebakaran masih dalam tindakan siasatan pihak (Balai) Bomba dan Penyelamat Daerah Segamat,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor