RANHILL SAJ HANTAR LORI TANGKI AIR KE KAWASAN TERJEJAS


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan & Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata pihak Ranhill SAJ juga kini sedang giat melakukan pengolahan bekalan air bagi meminimumkan jumlah kawasan yang terjejas. | Foto ihsan FB Fazli Salleh

 

ISKANDAR PUTERI — Syarikat Ranhill-SAJ akan menghantar bantuan lori tangki air ke kawasan di sekitar daerah Batu Pahat yang terjejas akibat insiden paip pecah di Jalan Kluang-Batu Pahat, pagi tadi.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan & Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata pihak Ranhill SAJ juga kini sedang giat melakukan pengolahan bekalan air bagi meminimumkan jumlah kawasan yang terjejas.

 

“Lebih kurang 26,000 akaun pengguna dijangka terjejas (akibat kejadian paip pecah berkenaan) dan kerja-kerja pembaikan sedang giat dilakukan oleh pihak Ranhill SAJ.

 

“Ia (kerja baik pulih) akan mengambil tempoh selama 15 jam dan dijangka siap pada jam 1 pagi esok. Bekalan air pula dijangka akan pulih sepenuhnya menjelang Subuh esok,” katanya di laman Facebook rasminya.

 

Terdahulu, Mohamad Fazli mengadakan tinjauan ke lokasi insiden berkenaan yang berlaku di persimpangan lampu isyarat Sekolah Convent Jalan Kluang-Batu Pahat, hari ini.

 

Beliau turut meminta orang ramai bersabar dan mendoakan kerja-kerja baik pulih ini dapat dilakukan dengan lancar dan sempurna.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor