KERAJAAN JOHOR LETAK KEPENTINGAN BELIA TERAS MAJU JOHOR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2022 Peringkat Negeri Johor | Sumber Facebook Onn Hafiz.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri meletakkan kepentingan pembangunan golongan belia sebagai teras dalam Agenda Maju Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ini kerana kerajaan negeri sedar golongan itu merupakan pelapis kepimpinan pada masa hadapan.

“Oleh itu, saya juga ingin mengajak anak-anak muda kita untuk bersama-sama kerajaan negeri dalam memajukan lagi Johor demi masa hadapan semua.

“Ini kerana saya percaya kepada kata-kata bahawa jika belianya ampuh, negerinya juga akan teguh,” katanya sempena Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2022 Peringkat Negeri Johor.

Hadir pada majlis tersebut, Pegawai Kewangan Negeri Johor, Dato’ Salehuddin Hassan; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah serta Presiden Majlis Belia Negeri Johor, Md Salleheen Mohamad.

Onn Hafiz menjunjung kasih kepada DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang menaungi anak-anak muda Johor.

“TMJ (Tunku Mahkota Johor) telah meletakkan satu penanda aras yang tinggi demi kejayaan anak-anak muda Johor dan telah menasihatkan pihak kerajaan supaya menitik beratkan pembangunan belia dari sudut ekonomi, pendidikan dan jati diri,” katanya.

Dalam merealisasikan hasrat untuk menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang tahun 2030, kerajaan negeri telah mengenalpasti enam teras sebagai tunjang utama di mana salah satunya adalah Orang Muda Johor.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor