KERAJAAN JOHOR, MELAKA BINCANG HAL EHWAL KEMASYARAKATAN


Kerajaan Johor menerima kunjungan delegasi Kerajaan Melaka bagi membincangkan hal ehwal kemasyarakatan pada Ahad. | Foto ihsan Facebook Khairin-Nisa Ismail

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor menerima kunjungan delegasi Kerajaan Melaka bagi membincangkan hal ehwal kemasyarakatan.

 

Kunjungan delegasi Kerajaan Melaka diketuai EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Negeri Melaka, Datuk Kalsom Nordin itu disambut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail.

 

Khairin-Nisa berkata, pertemuan bersama rakan sejawatnya itu menjadi platform perbincangan dan pertukaran pendapat mengenai perkara berkaitan kanak-kanak, wanita, gelandangan dan miskin tegar.

 

“Antara perkara yang dititikberatkan dalam perbincangan tersebut yang dapat kami kongsikan adalah dari segi pengurusan Kerajaan Negeri Johor dalam membantu golongan rentan, golongan miskin tegar dan wanita seperti Program Komuniti di Hati oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim dan Taskforce Miskin Tegar yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan GLC dengan sasaran sifar miskin tegar menjelang 2025,” kata beliau dalam Facebook rasminya pada Ahad.

 

Khairin-Nisa berkeyakinan pertemuan antara dua Kerajaan Negeri itu mampu memberikan manfaat kepada agensi kerajaan dalam meningkatkan kualiti pengurusan dan setiap lapisan masyarakat.

 

“Diharapkan agar dengan pertemuan yang diadakan pada hari ini juga adalah satu titik permulaan kepada kedua-dua kerajaaan negeri dalam menjalinkan hubungan yang lebih rapat dan seterusnya meningkatkan usaha bersama dalam menjaga kebajikan masyarakat,” katanya.

 

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Bahagian Pemantauan Projek dan Kesejahteraan Rakyat), Shubanah Yusuf.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor