KERAJAAN JOHOR MOHON TIGA PERMINTAAN DIMASUKKAN DALAM RMK12


Permintaan tersebut disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi kepada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ketika berucap pada Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di sini, hari ini. | Foto MDJ Saufi Razale

 

ISKANDAR PUTERI — Naik taraf Hospital Sultanah Aminah (HSA), Lebuhraya Senai-Desaru dan bekalan air mentah berkualiti adalah tiga permintaan Kerajaan Negeri Johor kepada Kerajaan Persekutuan.

 

Permintaan tersebut disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi kepada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ketika berucap pada Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di sini, hari ini.

 

Onn Hafiz berkata, ketiga-tiga permintaan tersebut merupakan keperluan mendesak bagi meredakan keresahan rakyat selain dapat melonjak kedudukan ekonomi negeri itu perlu diberikan keutamaan oleh Kerajaan Persekutuan.

 

“Di Johor Bahru, HSA ini bukan sahaja keperluan untuk penduduk di Johor, tetapi ia menjadi pusat rawatan bagi kawasan selatan Malaysia melibatkan Melaka dan juga Negeri Sembilan. Sekarang ini, situasi di HSA dah macam zon perang kerana ramai pesakit tetapi katil dan wad tak cukup… memang kita perlukan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.

 

“Perkara kedua yang menjadi permintaan kami ialah lorong memotong di Lebuhraya Senai-Desaru. Biasanya lebuh raya ada dua lorong tetapi di sini satu lorong sahaja. Kita tahu Desaru mempunyai potensi yang cukup besar dengan kawasan pelancongan dan juga sedang membangun pesat terutama dari segi sektor minyak dan gas,” katanya.

 

Tambah Onn Hafiz, bekalan air mentah bagi kegunaan domestik dan industri juga perlu diberi perhatian bagi RMK-12 sebagai salah satu aspek yang mampu menarik lebih banyak pelabur ke Negeri Johor memandangkan kedudukannya yang strategik.

 

“Ia adalah keperluan bagi industri kerana Negeri Johor telah mencatatkan angka RM70.6 bilion bagi pelaburan asing pada tahun lalu dan yang terkini ialah sektor minyak dan gas di Johor telah mencatatkan pelaburan terkumpul sebanyak RM140 bilion.

 

“Jadi, apabila para pelabur masuk ke negeri ini, sudah pasti mereka memerlukan bekalan air berkualiti dan juga pelbagai keperluan lain. Di peringkat Kerajaan Negeri, kami menyokong penuh segala strategi dan dasar yang telah dirangka demi kesejahteraan rakyat dan berharap agar permintaan kami dapat dipertimbangkan di bawah ‘Rolling Plan’ Keempat RMK-12,” tambahnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor