UNIT SMI JOHOR PERKASA HEBAHAN MENERUSI KERJASAMA PELBAGAI AGENSI


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Unit Strategik Modal Insan (SMI) Johor mengalu-alukan penglibatan semua pihak termasuk Ahli Dewan Negeri Johor dalam membantu membuat hebahan inisiatif berkaitan pekerjaan dan kursus kemahiran ditawarkan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, sepanjang Januari hingga Mac lalu, sebanyak 425 jawatan kosong telah diiklan dan dihebahkan di laman sosial jabatan.

 

Menurutnya, Unit SMI juga melaksanakan kerjasama dengan agensi lain seperti Media Digital Johor yang berperanan sebagai medium rasmi media sosial kerajaan negeri selain Jabatan Penerangan Johor dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor bagi membantu hebahan yang lebih meluas dan bersasar.

 

“Maklumat kursus, program dan hebahan peluang pekerjaan boleh didapati menerusi laman sosial jabatan iaitu Facebook, Instagram dan TikTok,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

Mohd Hairi berkata, Unit SMI Johor juga sedang menjalankan satu kajian bersama Universiti Teknologi Malaysia berkenaan penawaran dan permintaan guna tenaga di Johor.

 

Ia meliputi pengumpulan data maklumat yang lengkap mengenai jumlah sebenar permintaan guna tenaga di negeri ini.

 

“Di samping itu, Unit SMI Johor telah menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Modal Insan Negeri Johor sebagai platform perkongsian dan pengumpulan maklumat berkaitan skop pekerjaan, kemahiran dan peluang industri dengan menghimpunkan agensi-agensi berkaitan pembangunan modal insan dan pemain industri.

 

“Dengan penubuhan jawatankuasa ini, sebuah strategi baru dapat dirangka dalam membantu institusi TVET melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi mengikut kepakaran yang berbeza sekali gus mengisi peluang pekerjaan hasil pelaburan yang diterima negeri Johor,” katanya.

 

Sementara itu, beliau berkata, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menjalinkan kerjasama strategik bersama beberapa agensi dan kementerian bagi menubuhkan Pusat Satelit MYFutureJobs.

 

“Penubuhan ini adalah bertujuan membantu golongan pencari kerja yang berada di kawasan pinggir bandar dan kampung khususnya untuk mendapatkan perkhidmatan penempatan pekerjaan.

 

“Sehingga kini, terdapat 21 buah Pusat Satelit MYFutureJobs di negeri Johor. Jumlah ini termasuk 16 buah pusat pengajian di bawah Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor