PERPADUAN KAUM PENTING JADIKAN JOHOR NEGERI MAJU 2030


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama peserta Pertandingan Tarian Silang Budaya Negeri Johor 2030 di Auditorum Permata Sari, RTM Johor. | Foto MDJ Mohd Firdaus Yon

 

JOHOR BAHRU — Perpaduan kaum menjadi pemangkin signifikan bagi menjayakan impian menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang tahun 2030.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kemajuan yang ingin dicapai bukan sahaja dari segi pembangunan dan pelaburan malah mencakupi paradigma minda rakyat Johor.

 

“Kita nak jadikan Johor sebuah negeri yang maju menjelang tahun 2030. Dan maju bukan sahaja dari segi infrastruktur, bukan sahaja dari segi pelaburan yang masuk. Tetapi, maju dari segi anjakan paradigma minda.

 

“Dan kalau kita nak ke situ, kita kena pastikan juga bahawa masyarakat Johor yang berbilang kaum ini, yang majmuk ini, kena bersatu padu. Kerana melalui perpaduan itulah baru kita mempunyai kekuatan dan potensi untuk jadikan Johor ini sebuah negeri yang maju,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pertandingan Tarian Silang Budaya Negeri Johor 2030 di Auditorum Permata Sari, RTM Johor, di sini, pada Sabtu.

 

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar serta Pegawai Kewangan Negeri Johor, Dato’ Salehuddin Hassan.

 

Onn Hafiz berkata, atas sebab itu, perbincangan dibuat bagi membongkar potensi Johor menerusi kekuatan perpaduan bermula di bangku sekolah menerusi penganjuran program silang budaya.

 

“Kita di Johor ini bangga dengan kemajmukannya, tetapi kalau ia hanya dengan kata-kata ia tidak membawa erti. Sebab itu kita kena ada pelan tindakan, untuk kita sama-sama kenal mengenali.

 

“Antara objektif kita bincangkan adalah memupuk semangat penerimaan dan persefahaman antara kebudayaan. (Seterusnya) meningkatkan kesedaran, kefahaman dan pengetahuan serta mengukuhkan hubungan antara kaum dan pelbagai budaya di kalangan rakyat Johor,” katanya.

 

Selain itu, kata beliau, atas kesedaran pentingnya perpaduan kaum, aspek tersebut diletakkan antara salah satu teras utama dalam gagasan Maju Johor.

 

Pertandingan Tarian Silang Budaya Negeri Johor 2030 menyaksikan wakil daerah Kulai, Sanggar Budaya Tari diumumkan selaku johan sekali gus membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM20,000 berserta trofi dan sijil.

 

Naib johan dimenangi oleh wakil daerah Muar, Dwaris yang membawa pulang wang tunai RM10,000 beserta trofi dan sijil.

 

Manakala tempat ketiga dinobatkan kepada wakil daerah Johor Bahru, SenseTARI Seni yang membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta trofi dan sijil.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor