KERAJAAN NEGERI PASTIKAN PROJEK LURUS ‘SELEKOH S’ DITERUSKAN


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh meninjau perkembangan Projek ‘Selekoh S’ di kulai / Sumber Gambar Facebook Fazli Salleh.

 

ISKANDAR PUTERI — Projek memperelok jajaran jalan Johor Bahru-Ayer Hitam FT001 di Seksyen 38-40 kilometer dikenali sebagai ‘Selekoh S’ yang terhenti sebelum ini, disambung semula pada 15 Mac lalu.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, skop projek itu melibatkan pelurusan jalan yang kerap berlaku kemalangan maut.

 

“Saya singgah secara mengejut ke Kulai bagi meninjau perkembangan Projek ‘Selekoh S’ yang telah dimulakan semula pada 15 Mac 2023 yang lalu.

 

“Skop projek ini ialah meluruskan jalan FT001 Johor Bahru – Ayer Hitam di seksyen 38-40km yang memiliki dua selekoh merbahaya (berbentuk S) dan kerap berlaku kemalangan maut,” katanya menerusi Facebook rasminya, semalam.

 

Mohamad Fazli berkata, projek yang bermula pada Disember 2017 dan sepatutnya siap pada Jun 2019 itu tidak dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan, sebelum ditamatkan pada 20 Oktober 2021.

 

“Cabaran yang dihadapi selepas itu ialah untuk menyiapkan baki kerja di tapak kerana ianya melibatkan proses penyediaan skop baru, pemilihan kontraktor yang berminat serta mampu menyiapkan projek dan ianya turut melibatkan kos baru.

 

“Alhamdulillah, proses melantik kontraktor baru telah berjaya dan kerja-kerja menyiapkan baki kerja ini akan dijalankan dalam masa enam bulan dan dijangka siap sebelum 29 Ogos 2023,” katanya.

 

Beliau berharap projek tersebut apabila siap sepenuh kelak, akan memberi manfaat kepada semua pengguna jalan raya yang menggunakan jalan persekutuan itu seharian.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor