KERAJAAN JOHOR KOMITED TEROKAI BIDANG PELABURAN BAHARU


Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata Kerajaan Negeri juga mengalu-alukan sebarang bentuk penganjuran forum bagi mempromosi pelaburan strategik dan mampan di Negeri Johor. | Foto ihsan FB Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri Johor terus mempergiat usaha menerokai bidang pelaburan baharu sebagai usaha menjadikan Johor sebagai sebuah negeri maju menjelang 2030.

 

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata Kerajaan Negeri juga mengalu-alukan sebarang bentuk penganjuran forum bagi mempromosi pelaburan strategik dan mampan di Negeri Johor.

 

“Dalam mendepani pasaran global yang mencabar, forum sebegini amat penting bagi Kerajaan Negeri memahami landskap perniagaan yang terbaik, selain bertukar-tukar pandangan prospek pelaburan terkini yang mendatangkan keuntungan.

 

“Forum Perniagaan dan Pelaburan Johor ini juga membincangkan peralihan perniagaan-perniagaan baharu seperti Tenaga Boleh Baru (renewable energy) dan teknologi kecerdasan buatan (AI,)” katanya di laman Facebook rasminya.

 

Terdahulu, Onn Hafiz hadir ke Forum Perniagaan Dan Pelaburan Johor yang bertemakan ‘Maju Johor 2030 – Powering Johor Into the New Economy’ di Johor Bahru, pada Khamis.

 

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han; Pengerusi Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik, Tan Sri Majid Khan dan Presiden Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik, Tan Sri Michael Yeoh.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor