KERAJAAN NEGERI SENTIASA LINDUNGI KANAK-KANAK


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail, mengajak masyarakat untuk bersama-sama menjalankan tanggungjawab dalam menjaga kanak-kanak di sekeliling kita. | Foto Ihsan FB Khairin-Nisa Ismail.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) Negeri Johor sudah mengambil tindakan terhadap isu seorang kanak-kanak yang ditinggalkan oleh ibu kandungnya di Pasir Gudang yang tular baru-baru ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail, berkata pihak JKM Negeri Johor menerusi Pelindung Kanak-Kanak juga sudah menemui ibu kandung kanak-kanak berkenaan.

 

“Saya turut berduka cita berkenaan isu kanak-kanak yang tular di Pasir Gudang.

Saya juga telah dimaklumkan bahawa kes tersebut telah diambil tindakan oleh pihak berkuasa oleh JKM Johor melalui pelindung kanak-kanak.

 

“Pihak pelindung juga telah berjumpa dengan ibu kandung kepada kanak-kanak tersebut bagi mengambil kenyataan dan pegawai kaunselor juga akan menjalankan intervensi dengan kanak-kanak tersebut,” katanya dalam kenyataan media yang dimuat naik di laman sosial rasminya.

 

Khairin-Nisa berkata, justeru beliau mengajak masyarakat untuk bersama-sama menjalankan tanggungjawab dalam menjaga kanak-kanak di sekeliling kita.

 

Katanya, Kerajaan Negeri juga sentiasa bersedia bersama-sama masyarakat dalam mengambil penekanan dan tanggungjawab terhadap penjagaan dan kebajikan kanak-kanak di Johor.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor