KESTABILAN POLITIK PENTING TINGKATKAN KEYAKINAN PELABUR


Lee Ting Han (empat, kanan) bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat Parlimen Sembrong / Sumber Facebook Lee Ting Han

 

KLUANG — Kestabilan politik dan keutuhan sistem tadbir urus memainkan peranan penting sebagai indikator utama bagi meningkatkan keyakinan pelabur.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, kedua-dua faktor itu juga dapat memastikan kebolehlaksanaan inisiatif pembangunan yang sudah atau sedang dirancang bagi mencapai status negeri maju.

“Dalam tujuh bulan ini, kami telah melaksanakan inisiatif Bantuan Kasih Bangsa Johor yang melibatkan peruntukan sebanyak RM144.38 juta yang memanfaatkan semua Bangsa Johor. Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri untuk membantu rakyat setelah mendapat mandat dan mendengar suara daripada rakyat.

“Dari segi pembangunan ekonomi, kami telah berjaya mencatatkan komitmen pelaburan sebanyak RM60.9 bilion dalam enam bulan pertama tahun ini, iaitu separuh daripada angka bagi seluruh negara. Ia bermaksud lebih banyak peluang pekerjaan ataupun perniagaan dapat diwujudkan dan secara langsung meningkatkan kualiti kehidupan Bangsa Johor,” katanya sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat Parlimen Sembrong.

Selain itu, beliau menegaskan betapa perlunya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang bergerak selari supaya segala perancangan dapat dilaksanakan dengan cepat dan efektif.

“Mudah-mudahan dalam PRU akan datang, warga DUN Paloh dan Parlimen Sembrong dapat sekali lagi memberi mandat kepada kami untuk sama-sama membangunkan Negeri Johor,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor