KETERSEDIAAN 5G BERI MANFAAT BESAR KEPADA MASYARAKAT


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh diberikan taklimat mengenai pelaksanaan 5G di negeri Johor, daripada pihak DNB. | Foto Ihsan FB Norliza Noh.

 

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak 707 tapak struktur sedia ada dan 192 tapak struktur baharu akan dibina bagi menyokong Pelan Pelaksanaan Rangkaian 5G di Negeri Johor.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh berkata, Malaysia kini berada di landasan yang betul dalam usaha merapatkan jurang ketersediaan 5G menjelang Disember ini.

 

“Saya yakin bahawa pelaksanaan 5G di Malaysia khususnya bagi Negeri Johor ini akan memberi peluang yang sangat besar terhadap ekonomi, sosial dan teknologi kepada masyarakat umum dan usahawan di Negeri yang tercinta ini.

 

“Dengan ada 5G ini semua perkara dapat didigitalkan,” kata beliau dalam siaran dimuat naik selepas mengadakan lawatan ke Digital Nasional Berhad (DNB) di Menara Tun Razak Exchange (TRX), dekat Kuala Lumpur, pada Ahad.

 

Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Dato’ Asman Shah Abd. Rahman serta Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Negeri Johor, Mohamad Rizal Ahmad.

 

Terdahulu, Norlizah bersama delegasi dari Negeri Johor diberikan taklimat mengenai pelaksanaan 5G di negeri ini, daripada pihak DNB.

 

DNB ditubuhkan dengan objektif untuk mempercepatkan pelaksanaan 5G dan penggunaan 5G untuk memacu ekonomi digital di Malaysia.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor