KJ DILANTIK PENASIHAT BELIA JOHOR, LEMBAGA PENGARAH JDT


Tunku Mahkota Johor, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mengesahkan Khairy Jamaluddin dilantik sebagai Penasihat Belia Johor dan Ahli Lembaga Pengarah Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), hari ini | Sumber gambar Facebook HRH Crown Prince of Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Tunku Mahkota Johor, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mengesahkan Khairy Jamaluddin dilantik sebagai Penasihat Belia Johor dan Ahli Lembaga Pengarah Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

 

Titah Baginda Tunku, pengalaman dimiliki bekas Ahli Parlimen Rembau dalam pelbagai bidang di negara ini, memberi nilai tambah kepada pembangunan belia dan kemajuan bola sepak Johor.

 

“Saya telah bertemu dengan Khairy Jamaluddin dan bersetuju untuk melantik beliau sebagai Penasihat Belia Johor dan sebahagian Lembaga Pengarah Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim.

 

“Pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang di negara ini akan memberikan nilai tambah kepada pembangunan belia serta kemajuan bola sepak Johor,” titah Baginda Tunku dalam Facebook rasminya, hari ini.

 

Sementara itu, halaman Facebook rasmi JOHOR Southern Tigers turut merakamkan tahniah dan selamat datang ke JDT.

 

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim ingin mengucapkan selamat datang dan tahniah kepada Khairy Jamaluddin atas pelantikan beliau sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarah JDT selepas diumumkan oleh pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

 

“JDT turut mengucapkan tahniah kepada Khairy atas pelantikan beliau sebagai Penasihat Belia Johor. Luaskan Kuasamu Johor,” kata JOHOR Southern Tigers dalam siaran dimuatnaik dalam halaman Facebook rasmi mereka.

 

Terdahulu, Khairy Jamaluddin ketika bertugas mengendalikan segmen pagi sebagai penyampai radio sebuah stesen radio tanah air pagi tadi, dilaporkan memaklumkan bakal bersama JDT.

 

Beliau yang mesra disapa sebagai KJ sebelum ini pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta Menteri Kesihatan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor